Wednesday, October 8, 2008

Kasih Suci



Semakin lama kita di dunia ini, semakin banyak yang kita kenali. Pengalaman semakin menggunung dari hari ke hari mendewasakan dan mematangkan kita dalam setiap apa jua tindakan yang diambil. Kadang2 kita rasa kita sentiasa di pihak yang benar tetapi jika dilihat dari sudut 360 darjah, masih ada cacat cela yang belum diambil kira. Di situlah perlunya ilmu dari segala sumber kerana kehidupan kita adalah berkonsepkan komuniti, dan dalam setiap komuniti sudah pastinya terdapat kepelbagaian ragam oleh setiap ahlinya.

Usah kita mudah menunding jari sesama makhluk kerana setiap apa yang terjadi, pasti ada hikmahnya. Pemikiran yang waras amatlah kritikal dalam pencarian jalan menuju persetujuan bersama. Rasional dalam tindakan menjadikan keputusan yang dipilih dapat memuaskan setiap yang terlibat. Selebihnya, doa dan tawakallah kerana keizinan hanyalah dari-Nya yang Maha Mengetahui. Perlu juga diingat, setiap kesalahan yang terpapar di depan mata, adalah peringatan terhadap kesalahan kita. Usah mengaku diri itu suci kerana suci itu lebih besar maknanya daripada sehelai kain putih.

Dalam usaha untuk mencapai matlamat, caranya tidak hanya tertumpu kepada satu. Istilah banyak perlu diambil kira kerana setiap manusia amat berbeza. Bakat dan kelebihan juga tidak sama dan semua ini adalah untuk mewujudkan keseimbangan alam semesta. Jadi, usah mudah melabel seseorang hanya kerana pendekatan yang berbeza kerana kelak mungkin itulah jawapan yang terbaik. Amatlah benar tentang matlamat tidak menghalalkan cara, namun selagi segalanya masih dalam kawalan, pasti ada hikmah tentang setiap tindakan. Bukalah mata seluas2nya agar kita tidak digelar si buta.

Sesungguhnya, musyawarahlah senjata wajib seorang pemimpin. Keputusan dipilih mendapat persetujuan daripada semua. Dan seelok2 musyawarah adalah yang melibatkan semua pihak. Setiap sudut diteliti dihiasi dengan penjelasan tanpa sebarang penyembunyian. Ingatlah, sepahit mana kebenaran itu, itulah realiti sebenarnya. Nyatakanlah dengan keyakinan kerana perasaan yakin mampu memberi semangat buat semua.

No comments: